Rabu, 14 November 2012

Permulaan baru

Dicatat oleh Unknown di Rabu, November 14, 2012 0 ulasan
Alhamdulillah, setelah hampir setahun setengah saya memulakan perniagaan pasar malam, akhirnya saya dan suami telah sepakat untuk memulakan perniagaan runcit pula. Dalam tempoh tersebut, banyak yang telah saya dan suami pelajari. Benarlah kata orang, pengalaman memang tidak boleh dijual beli. Dari tak tahu apa-apa pasal perniagaan, kami belajar sedikit demi sedikit. Cara mengenal pembekal yang bagus, cara untuk pusing modal, cara untuk tetapkan harga, cara untuk berkomunikasi dengan pelanggan, bermacam-macam. Dan pelbagai kerenah juga yang kami terpaksa layan. Ada cabaran dan dugaan tersendiri.

Begitu juga dengan perniagaan kedai runcit yang baru kami ambil alih. Kami terpaksa mulakan dari awal sebagaimana kami lakukan semasa mula-mula berniaga pasar malam. Ini disebabkan prestasi kedai tersebut yang sudah agak tercalar. kami perlukan sedikit masa untuk mengabil kepercayaan penduduk di sekitar taman tersebut. Pertama sekali, harga kedai yang diletakkan terlampau mahal. Tidak berbaloi dengan peralatan dan barangan yang ada dalam kedai tersebut. Tetapi disebabkan suami saya begitu berminat dengan lokasi kedai tersebut, kami terpaksa pejamkan sebelah mata. Lokasinya berada di taman perumahan yang agak jauh dari pusat perniagaan, dikelilingi dengan kawasan perindustrian. saingan yang ada cuma 3 buah kedai sahaja. populasi penduduk agak padat. Sewa yang murah dan keluasan kedai yang agak besar kalau dibandingkan dengan 2 lagi kedai yang ada di situ. Banyak faktor yang di ambil kira.

Kedua, reputasi kedai yang buruk. Kami menerima aduan dari penduduk sekitar tentang bermacam-macam hal. dari waktu operasi yang ikut suka hati, jualan produk yang tamat tempoh/tidak elok, harga yang mahal, tiada varieti produk. Tidak hairanlah, minggu pertama beroperasi, sebilangan besar pelanggan adalah kanak-kanak sahaja. Pendapatan kami cuma sekitar RM 100- 200 sehari. Alhamdulillah, walaupun sebenarnya jumlah tersebut adalah terlampau sedikit. Suami saya berulang-alik ke bandar setiap hari, membeli barangan yang penduduk mahukan. Disebabkan kami kesuntukan modal, kami terpaksa membeli ikut keperluan yang dicari penduduk sahaja. Jualan harian kedai, kami buat pusingan modal untuk penuhkan kedai. Alhamdulillah, minggu kedua, jualan kami meningkat kepada RM 300 - 400 sehari. Ini disebabkan kami dapat menarik golongan remaja dan sebilangan golongan surirumah. Satu kemajuan buat kami. Minggu ketiga sehingga sekarang jualan kami terus meningkat sedikit demi sedikit. Barangan dalam kedai juga semakin bertambah. Rak-rak yang dulunya kosong kini sudah berisi. Hasil pusingan modal harian.

Perniagaan runcit dan pasar malam ada perbezaannya. Jualan pasar malam adalah bergerak di mana kami perlu mencari pelanggan, runcit pula secara tetap. Pelanggan yang mencari produk kami. waktu operasi pasar malam lebih singkat dibandingkan kedai runcit yang beroperasi dari pagi sampai malam. sangat meletihkan. kalau berniaga pasar malam, hanya waktu membuka dan menutup gerai sahaja yang memenatkan. dari segi margin keuntugan, barangan pasar malam lebih menguntungkan. keuntungan barangan runcit tidak setinggi pasar malam cuma kuantiti yang dijual adalah banyak dan kami tidak perlu risau tentang cuaca.

Walau apa pun jenis perniagaan yang dijalankan yang penting adalah semangat dan disiplin. Tidak boleh berputus asa. Apa pun jenis pekerjaan yang kita jalankan pasti ada dugaan dan cabarannya. kalau kita berputus asa, pasti kita takkan ke mana. Tawakkal dan doa harus diiring bersama.



 

Same Old Me But A Different Day.. Copyright © 2011 Design by Ipietoon Blogger Template | Make Money from Zazzle|web hosting