Berapa banyak telah anda menabung demi kepentingan masa depan anak anda? Mungkin bagi mereka yang berpendapatan tinggi, isu ini adalah isu basi sahaja. Tetapi bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah, saya yakin masih ramai yang belum berbuat demikian. Ramai yang masih mengambil enteng tentang kepentingan menabung. Mulalah menabung dari sekarang. "Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit". Memang anak-anak kita tidak akan menjadi jutawan muda apabila dia menginjak dewasa tetapi sekurang-kurangnya, mereka mempunyai sedikit tabungan sekiranya Allah mengizinkan mereka untuk melanjutkan pelajaran kelak. Atau apa-apa sahaja hal kecemasan yang memerlukan wang segera di masa hadapan.
Saya mula menyimpan untuk anak-anak dari hari pertama mereka dilahirkan. Syukur, suami saya banyak mendorong dan menasihatkan saya untuk menabung demi anak-anak. Percayalah, anda pasti rasa gembira malah bangga setiap kali melihat baki tabungan yang tertera pada buku simpanan anak masing-masing.
Setiap sen dan ringgit yang disedekahkan kepada mereka oleh keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan akan saya simpan sedikit demi sedikit dan dimasukkan ke dalam akaun mereka. Di samping tabungan saya dan suami sendiri. Kami tidak mengambil walau satu sen pun dari duit mereka. Suami saya kerap mengatakan duit yang diberi kepada mereka adalah hak mereka. Kita adalah pemegang amanahnya sahaja, tidak berhak mengambil satu sen pun walaupun sekadar untuk membeli gula-gula kepada mereka. Apatah lagi untuk membeli keperluan asas kepada mereka seperti makanan dan pakaian. Kerana segala perbelanjaan mereka, adalah tanggungjawab kita sebagai ibubapa. Betapa tegasnya dia dalam menjalankan tanggungjawabnya. Kami bukanlah orang kaya, kami tidak dapat memberi banyak. Alhamdulillah, saya bangga sekarang melihat jumlah simpanan anak-anak telah mencecah ribuan ringgit setiap seorang walaupun baru berusia 4 dan 2 tahun.
Saya sendiri tidak mempunyai simpanan sebanyak itu ketika saya seusia mereka. Saya tidak salahkan ibubapa saya. Saya pasti duit itu telah digunakan sebaiknya untuk saya juga. Tetapi, saya berazam untuk mengubah sikap saya dalam isu ini. Saya tidak mengharapkan apa-apa. Tiba masanya, akan saya serahkan sendiri buku simpanan kepada mereka. Mungkin saya tidak dapat beri kemewahan yang melimpah-ruah pada mereka sekarang, tetapi dengan adanya simpanan tersebut diharapkan dapat membantu mereka sedikit sebanyak di masa akan datang.
0 ulasan:
Catat Ulasan